Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.
Walillahil hamd.
Alhamdulillah, sebulan Ramadhan telah kita lalui, kini Syawal bakal menjelang.
Para ulama’ mengibaratkan Ramadhan sebagai tarbiyah ruhiyyah, pendidikan jiwa dan rohani agar tunduk kepada Allah SWT dan bebas daripada kekangan nafsu. Pastinya ini akan memperkemaskan lagi proses pembersihan diri dan jiwa, tazkiyah an nafs kerana asas tersebut akan menjamin landasan pembentukan akhlak dan moral peribadi, keluarga dan masyarakat. Andai asas ini lompang, maka penyelewengan dan fasad, yakni kerosakan termasuk dengan menodai faham keadilan dan pembangunan akan berlaku dengan mudah.
Cabaran demi cabaran dihadapi sepanjang Ramadhan dilalui, pastinya sebagai umat yang tawadhuk, Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki. Amal ibadat sepanjang Ramadhan janganlah terhenti tatkala Ramadhan melayarkan tirai. Sebagai umat Islam yang bertaqwa, menjadi satu keperluan agar kita terus istiqamah untuk mendepani perjuangan yang bakal mendatang.
Ramadhan yang dilalui telahpun mengajar kita erti kesabaran di dalam menempuh perjuangan yang rencam. Perjuangan ini tidak terhad untuk melawan hawa nafsu semata-mata, sebaliknya ia melampaui sempadan sikap tatkala kita berhadapan dengan pelbagai keadaan yang menyaksikan ketidak adilan berlegar-legar di kalangan masyarakat.
Kemenangan menuntut perjuangan, perjuangan menuntut kesabaran. Sambutlah Eidulfitri dengan penuh keinsafan, dengan tekad untuk merubah Malaysia ke arah sebuah negara yang menjunjung politik madani. Rapatkanlah ukhuwah dengan jalinan silaturrahim, sebagai melengkapi tarbiyah ruhiyyah Ramadhan.
Mudah-mudahan dengan penghayatan dan tazkirah Ramadhan, iltizam kita lebih menebal untuk melakukan perubahan diri dan ummah melalui tazkiyah dan islah.
Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidulfitri 1429 Hijrah. Minal Aidil Wal Faiziin.
NOOR FIRDAUS BIN ABDUL SAMAD
AKTIVIS POLITIK SINGAPURA
